book review the_myth_of_the_lazy_native-libre

8

Click here to load reader

Upload: peningla

Post on 24-Jun-2015

64 views

Category:

Education


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Book review the_myth_of_the_lazy_native-libre

1

PENGENALAN

The Myth of the Lazy Native adalah sebuah buku yang ditulis oleh Syed Hussein Alatas.

Penyiapan buku ini mengambil masa tujuh tahun sejak tahun 1966, dan akhirnya diterbitkan

pada tahun 1977. Buku ini telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Ahmad Rofie dan

diubahsuai ke bahasa Malaysia oleh Zainab Kassim dengan judul Mitos Peribumi Malas.

Syed Hussein Alatas adalah seorang tokoh sosiologi Malaysia. Alatas juga adalah seorang

tokoh politik, di mana beliau adalah salah seorang tokoh intelektual yang membentuk Parti

Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada tahun 1968. Beliau juga adalah Naib Canselor

Universiti Malaya pada tahun 1988 hingga 1991.

Tujuan utama Alatas menulis buku ini adalah untuk menganalisis asal-usul dan fungsi “mitos

pribumi pemalas” di samping memperbetulkan pandangan penjajahan terutamanya daripada

tokoh-tokoh Barat terhadap masyarakat pribumi di Asia Tenggara. Alatas dalam satu artikel

daripada Faezah Ismail menyatakan secara terang-terangan bahawa beliau “tidak suka cara

penulis kolonial menggambarkan sejarah Asia Tenggara”.

Alatas menggunakan pendekatan metodologi sosiologi pengetahuan (the sociology of

knowledge) dalam penulisan buku ini. Beliau mengutamakan pandangan yang objektif dan

tidak mempunyai bias dalam memberikan hujah. Sebagai contoh, beliau mencontohi kajian

yang dijalankan oleh seorang ahli sosiologi Myanmar, U Khin Maung Kyi yang mengkaji

masalah ekonomi masyarakat Myanmar (Burma pada ketika dahulu), namun beliau

mengkritik kajian beliau yang kurang objektiviti dan “menampakkan” ideologinya melalui

penulisannya.

Alatas adalah salah satu ahli sosiologi Malaysia yang paling terkemuka dalam menghujahkan

konsep-konsep baru dan original, terutamanya perihal mengenai Asia Tenggara. Dalam buku

ini, beliau terus mengemukakan konsep, istilah dan hujah-hujah beliau yang tersendiri

mengenai kesan penjajahan terhadap negara-negara kolonial di Asia Tenggara, yakni

Malaysia, Indonesia dan Filipina. Malah, penulisan Alatas tentang buku ini dinyatakan

sebagai “startlingly original” ataupun tersendiri dan mengujakan oleh Edward Said dalam

hasil kerjanya Culture and Imperialism.

Syed Hussein Alatas meninggal dunia pada 23 Januari 2007 di usia 78 tahun. Meskipun

menyumbang banyak dalam bidang sosiologi di Asia Tenggara, kematian Alatas tidak

memberi impak yang mendalam terhadap rakyat Malaysia. Dalam penulisan Deborah

Page 2: Book review the_myth_of_the_lazy_native-libre

2

Johnson (2007), kematian Alatas menunjukkan hubungan yang kurang baik antara rakyat

Malaysia dengan tokoh-tokoh ilmuwan yang kian menonjol.

The Myth of the Lazy Native menggambarkan kewibawaan Alatas dalam memperkenalkan

konsep dan idea-idea baru. Antara idea-idea utama beliau dalam buku ini adalah ideologi

kolonial, kapitalisme kolonial, dan kesan penjajahan serta istilah malas dan tawanan minda.

RUMUSAN IDEA UTAMA

Alatas mengetengahkan dua konsep utama dalam buku ini, iaitu ideologi kolonial (colonial

ideology) dan kapitalisme kolonial (colonial capitalisme). Kedua-dua konsep ini adalah

konsep yang diperkenalkan sendiri oleh Alatas berdasarkan kepada kesan penjajahan kuasa

Barat di Asia Tenggara, khasnya Malaysia, Indonesia dan Filipina terhadap masyarakat

pribumi di situ.

Alatas melihat kedua-dua konsep ideologi kolonial dan kapitalisme kolonial sebagai konsep-

konsep yang membawa kesan negatif, khususnya kepada masyarakat pribumi seperti

masyarakat Melayu di Malaysia, masyarakat Jawa di Indonesia dan masyarakat Filipino di

Filipina. Kesan negatif yang paling ketara adalah sepertimana tajuk buku ini, iaitu stigma

atau mitos kemalasan masyarakat pribumi yang sering digambarkan oleh masyarakat luar,

iaitu dalam konteks buku ini adalah daripada penjajah dari rantau Barat.

Secara amnya, ideologi selalunya muncul apabila berlakunya konflik antara dua pihak,

terutamanya di antara pihak atasan dengan pihak bawahan. Berdasarkan teori Karl Marx,

konflik wujud kerana ketidaksamaan akses hak milik terhadap alat pengeluaran di antara dua

pihak, iaitu di antara pihak yang mendominasi dengan pihak yang didominasi, yakni

masyarakat kelas bourgeoisie dengan masyarakat kelas proletariat. Konflik ini adalah antara

teori utama yang membentuk ideologi Marxisme.

Seorang lagi tokoh sosiologi yang membentuk sesebuah ideologi melalui teorinya tentang

konflik adalah Max Weber. Jika Marx melihat konflik melalui sudut ekonomi sahaja, Weber

menjelaskan bahawa konflik bukan sahaja disebabkan oleh faktor ekonomi tetapi turut

berpunca dari sudut lain, seperti politik dan sosial. Hal ini adalah kerana masyarakat adalah

terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang pelbagai, maka berlakunya konflik yang

membentuk birokrasi atau stratifikasi sosial dalam masyarakat. Dari sudut ekonomi,

masyarakat terbahagi mengikut kelas. Dari sudut sosial, masyarakat terbahagi mengikut

kumpulan status. Manakala dari sudut politik pula, masyarakat terbahagi mengikut parti.

Page 3: Book review the_myth_of_the_lazy_native-libre

3

Meskipun begitu, persamaan antara ideologi Marx dan Weber adalah ideologi ini terhasil

akibat konflik di antara dua pihak yang mempunyai kuasa yang berbeza.

Berbeza dengan ideologi Marx dan Weber, ideologi kolonial yang dikemukakan oleh Alatas

tidak terhasil akibat konflik di antara dua pihak yang mempunyai kuasa yang berbeza seperti

antara bourgeoisie dengan proletariat ataupun antara dua kumpulan status atau parti yang

berbeza. Ideologi kolonial ini terhasil akibat konflik yang berlaku dalam kalangan golongan

yang sama. Dalam konteks buku ini adalah konflik di antara golongan penjajah itu sendiri, di

mana golongan penjajah ini ingin menjustifikasikan pemerintahan Barat di negara-negara

jajahan dengan alasan untuk memajukan negara-negara tersebut.

Ideologi kolonial secara amnya adalah ideologi para tokoh ilmuwan Barat yang “berhaluan

Barat”. Interpretasi yang mereka lakukan terhadap masyarakat di rantau Asia Tenggara

selalunya dibuat perbandingan dengan interpretasi di yang mereka lakukan terhadap

masyarakat mereka sendiri. Hal ini menyebabkan sesetengah tokoh nampak etnosentrik dan

berat sebelah dalam membuat pandangan. Sebagai contoh, seorang pengembara iaitu

Thomson membuat andaian terus terhadap orang Melayu di Pulau Pinang bahawa disebabkan

beliau tidak pernah berjumpa dengan pedagang Melayu, maka dia terus melabelkan Melayu

“buat kerja secara seminima yang boleh”.

Penjajah menggunakan ideologi kolonial untuk ‘menghalalkan’ penjajahan mereka di

sesebuah negara itu. Alatas memberi contoh-contoh yang menerangkan bahawa ideologi

kolonial ini mempengaruhi pemerhatian dan penginterpretasian tokoh-tokoh ilmuwan Barat

untuk membuat kenyataan-kenyataan tertentu demi meneruskan penjajahan mereka di

sesebuah negara itu dengan alasan yang bernas dan mulia, iaitu demi kemajuan negara

jajahan itu. Salah satu kenyataan tersebut termasuklah kenyataan “pribumi adalah pemalas”.

Alatas juga menjelaskan perbezaan antara kapitalisme biasa di Barat dengan kapitalisme

kolonial di rantau Asia Tenggara. Sistem kapitalisme di Asia Tenggara adalah sangat berbeza

dengan sistem kapitalisme di negara-negara Barat kerana negara di rantau Asia Tenggara

kebanyakannya dijajah oleh kuasa Barat. Dengan demikian, pemanipulasian cara pengeluaran

sumber di Asia Tenggara adalah di antara golongan penjajah dengan golongan bawahan yang

terdiri daripada golongan pribumi dengan golongan imigran. Di Malaysia, Alatas

menggambarkan masyarakat Melayu sebagai golongan pribumi manakala masyarakat Cina

dan India (digelar Tamil atau Kling oleh Alatas) sebagai golongan imigran.

Page 4: Book review the_myth_of_the_lazy_native-libre

4

Alatas menggambarkan fasa-fasa kapitalisme mengikut pandangan dua tokoh sosiologi Barat,

iaitu Max Weber dan Amintore Fanfani. Fasa pertama adalah kapitalisme komersial

(commercial capitalism), kedua kapitalisme industri (industrial capitalisme) dan ketiga

adalah kapitalisme kewangan (financial capitalism). Alatas mencadangkan bahawa di rantau

Asia Tenggara, fasa kapitalisme kewangan wujud lebih awal berbanding fasa kapitalisme

komersial. Malah, akibat penjajahan, fasa kapitalisme seterusnya terutama di Indonesia

adalah kapitalisme monopoli (monopoly capitalism). Disebabkan perbezaan aliran fasa

kapitalisme seperti ini, maka Alatas mencadangkan konsep kapitalisme kolonial sebagai

sistem kapitalisme di rantau Asia Tenggara.

Berbeza dengan sistem kapitalisme di Barat, kapitalisme kolonial di rantau Asia Tenggara

memberi lebih keutamaan kepada golongan penjajah (Barat) berbanding golongan tempatan.

Di Barat, setiap warganya mempunyai hak yang lebih kurang sama rata untuk mendominasi

mod pengeluaran. Walau bagaimanapun, di Asia Tenggara, golongan penjajah mendominasi

mod pengeluaran, khususnya sumber industri.

Alatas juga mendefinisikan istilah “malas” dalam konteks stigma “masyarakat pribumi adalah

pemalas” yang sering dinyatakan oleh tokoh-tokoh ilmuwan Barat pada zaman penjajahan.

Beliau memetik definisi “malas” daripada Rizal, iaitu “little love for work, lack of activity”

atau tidak suka untuk bekerja, atau kurang melakukan aktiviti.

Alatas percaya bahawa stigma “malas” yang telah diberikan oleh tokoh ilmuwan Barat seperti

Clive Day, Stamford Raffles, and J. S. Furnivall adalah berat sebelah. Kemalasan pribumi

yang digambarkan oleh tokoh ilmuwan Barat adalah berlandaskan ideologi mereka masing-

masing. Alatas menyatakan bahawa sesetengah tokoh adalah bias dan berhaluan kiri dalam

membuat andaian dan pemerhatian, kerana minda mereka ditawan dengan ideologi

penjajahan. Justeru, satu lagi konsep yang Alatas perkenalkan adalah tawanan minda (captive

mind). Namun, Alatas tidak menggunakan istilah tawanan minda dalam buku ini, namun

terdapat hujah-hujahnya yang mempunyai ciri-ciri tawanan minda dalam buku ini. Tawanan

minda ini terjadi akibat ideologi kolonial yang mengaburi pandangan tokoh-tokoh ilmuwan

Barat.

Alatas juga membincangkan tentang pedagang pribumi. Pedagang pribumi di Asia Tenggara

pada suatu ketika dahulu adalah sangat mahsyur. Bukti arkeologi di Lembah Bujang

membuktikan bahawa masyarakat pribumi di sekitar Kedah pada ketika itu berdagang dan

melakukan industri peleburan besi seawal abad ke-2 Masihi dengan jumpaan jeti purba di

Page 5: Book review the_myth_of_the_lazy_native-libre

5

Sungai Batu. Namun, sepertimana kata Thomson, pedagang Melayu semakin berkurangan,

terutama sejak zaman penjajahan. Sistem kapitalisme kolonial memainkan peranan yang amat

penting dalam hal ini. Masyarakat pribumi kurang berminat untuk melakukan kerja untuk

kebaikan orang lain. Lebih-lebih lagi penjajah yang “menceroboh” tanah air mereka dan

mengambil alih pentadbiran tempatan. Alatas menyatakan bahawa dalam sistem penjajahan,

adalah menjadi perkara biasa bahawa penjajah mendominasi kuasa yang memberi signifikan

sosial yang kuat, seperti kuasa ekonomi.

PANDANGAN KRITIS

Idea-idea utama Alatas, iaitu ideologi kolonial, kapitalisme kolonial, kesan penjajahan dan

istilah “malas” dan “tawanan minda” menunjukkan bahawa Alatas adalah seorang yang

berpandangan jauh. Kebanyakkan teori-teori sosiologi dipelopori oleh Barat, seperti Plato,

Augustus Comte, Karl Marx dan Herbert Spencer. Namun, Alatas berani untuk

memperkenalkan konsep dan istilah yang baru dengan hujah yang sangat berilmiah.

Secara dasarnya, Alatas menolak mitos pribumi yang pemalas. Kesemua idea-idea utama

Alatas sebenarnya adalah hujah beliau untuk membidas dan menolak kenyataan-kenyataan

tokoh-tokoh barat sebelum ini yang menyatakan bahawa masyarakat pribumi adalah pemalas.

Pada pendapat saya, saya bersependapat dengan Alatas. Mitos pribumi pemalas hanyalah

gambaran atau bayangan semata-mata tanpa sebarang bukti yang kukuh. Bukti yang kukuh

sebenarnya adalah kesan daripada penjajahan. Masyarakat pribumi tidak akan berminat untuk

melakukan kerja yang memberi keuntungan kepada orang lain, khususnya penjajah.

Tokoh-tokoh ilmuwan Barat sebenarnya amat dipengaruhi oleh ideologi kolonial yang

mereka bawa dalam diri mereka secara langsung atau secara tidak langsung. Ideologi kolonial

mengaburi minda dan buah fikiran mereka untuk berfikir secara general dan objektif tanpa

sebarang bias atau berat sebelah. Tokoh-tokoh ini mengalami tawanan minda kerana memberi

pandangan dan andaian berdasarkan budaya dan pengalaman mereka dari Barat. Hal ini

seharusnya tidak boleh berlaku kerana konsep asas sosiologi bahawa tingkahlaku manusia

adalah tidak tetap dan berubah-ubah mengikut masa dan juga tempat. Norma bagi sesebuah

masyarakat itu pastinya berlainan di Eropah berbanding di Asia Tenggara.

Penjajahan daripada kuasa Eropah di Asia Tenggara adalah punca utama wujudnya “pribumi

yang pemalas”. Hal ini adalah kerana menurut Alatas, masyarakat pribumi digelar sebagai

pemalas kerana mereka tidak berminat untuk melibatkan diri dalam perindustrian atau

Page 6: Book review the_myth_of_the_lazy_native-libre

6

perniagaan yang berunsurkan kapitalisme. Hal ini bukan kerana masyarakat pribumi dapat

meneka keburukkan kapitalisme, tetapi mereka lebih selesa untuk menjalani kehidupan demi

keluarga dan bangsa masing-masing. Masyarakat pribumi tidak boleh mengelak daripada

mempunyai unsur etnosentrik kerana mereka mempunyai sistem sosial, norma, nilai dan

budaya yang tersendiri. Campur tangan daripada pihak luar ke atas struktur kemasyarakatan

mereka akan meragukan lantas memprovokasikan mereka untuk mempertahankan budaya

turun-temurun mereka.

Ideologi kolonial dalam kalangan tokoh-tokoh Barat itu juga menunjukkan betapa mereka

merendah-rendahkan masyarakat pribumi dan betapa mereka menginginkan faedah

penjajahan mereka. Membandingkan masyarakat pribumi dengan masyarakat golongan

imigran adalah tidak wajar kerana masyarakat pribumi telah hidup secara turun-temurun di

tanah air mereka. Semestinya mereka akan bekerja sendiri dan bukannya bekerja di kilang

atau estet demi menguntungkan penjajah luar. Masyarakat pribumi mempunyai tanah sendiri,

rumah sendiri, dusun sendiri, kebun sendiri dan mempunyai keupayaan untuk memburu dan

mencari makanan sendiri. Mereka tidak mempunyai minat untuk mencari nafkah yang

melebih-lebih kerana mereka sudah biasa dengan kehidupan sederhana melalui sistem

pemerintahan tempatan seperti Kesultanan Melayu.

Bagi saya, budaya masyarakat pribumi yang mempunyai sistem pemerintahan tempatan akan

menjalani kehidupan mengikut unsur-unsur Calvinisme, di mana setiap manusia masing-

masing mempunyai takdir masing-masing, justeru mereka perlu terus hidup berdasarkan

takdir berikut. Bagi masyarakat pribumi, sebagai contoh Melayu, mereka yang lahir sebagai

kaum kerabat diRaja akan menjalani kehidupan mewah di istana, manakala mereka yang lahir

sebagai rakyat biasa harus akur dan menjalani kehidupan di kampung halaman. Oleh sebab

itu, masyarakat pribumi dianggap sebagai pemalas, kerana mereka enggan melawan takdir

yang telah mereka terima.

Antara cara terbaik untuk menerangkan segala tentang tingkahlaku manusia dan masyarakat

adalah dengan melihat mereka sebagai hasil daripada rasionaliti individu dalam mengejar

matlamat mereka. Begitulah juga tentang masyarakat penjajah dengan pribumi. Mereka akan

bertindak mengikut apa yang rasional berdasarkan daripada norma, nilai dan budaya masing-

masing. Dengan demikian, tidak hairanlah bahawa para tokoh ilmuwan Barat akan

mempunyai tawanan minda lantas berlaku bias dalam membuat penerangan dan pandangan.

Page 7: Book review the_myth_of_the_lazy_native-libre

7

Secara ironi, selepas kemerdekaan negara-negara kolonial, yakni Malaysia, Indonesia dan

Filipina dalam konteks buku ini, penggunaan istilah pribumi malas sudah mula untuk

berkurangan dalam penulisan ilmiah. Namun, istilah ini terus kekal dalam kalangan

masyarakat untuk terus melakukan stereotaip antara satu sama yang lain. Sebagai contoh, di

Malaysia, orang Melayu distereotaip sebagai pemalas, manakala orang Cina dan India digelar

sebagai pendatang (selain daripada penipu dan pemabuk). Hal ini menunjukkan betapa

pentingnya etika seseorang yang mempunyai kelayakan dalam membuat sesuatu kenyataan.

Hal ini adalah kerana kenyataan-kenyataan yang diguna pakai tersebut akan diikuti oleh

orang lain yang mencontohi tokoh-tokoh tersebut. Pada pandangan saya, Alatas membuat

analisis melalui buku ini adalah untuk menjernihkan stigma negatif ini dalam kalangan

masyarakat umum terhadap masyarakat pribumi.

Konsep istilah “malas” oleh Alatas juga adalah wajar, kerana seseorang yang sekadar bekerja

sebagai pekebun untuk menyara keluarga tidak patut digelar pemalas. Saya sependapat

bahawa kita tidak seharusnya melabelkan seseorang itu sebagai malas hanya melalui

pekerjaannya. Tidak dinafikan bahawa seseorang yang tidak berpelajaran juga mampu

menjadi orang yang terkemuka suatu hari nanti berdasarkan nasibnya, namun kadang-kadang

seseorang itu tetap tidak mampu untuk mencapai matlamat meskipun telah berusaha

bersungguh-sungguh. Bagaimana pula jika seorang penganggur rajin mencari kerja? Adakah

dia akan dilabel sebagai pemalas kerana menganggur, ataupun seorang yang rajin mencari

kerja? Mesti ada sebab mengapa dia menganggur, tetapi yang sudah pasti bukannya kerana

sikap malas.

Jika melihat di zaman moden ini, terdapat pandangan bahawa masyarakat pribumi adalah

malas terutamanya di Malaysia kerana mereka mendapat status sebagai bumiputera. Oleh

yang demikian, mereka mempunyai keistimewaan yang khas berbanding mereka yang bukan

bumiputera. Sebagai contoh, kuota kemasukkan ke Program Matrikulasi mempunyai kuota

kemasukan bumiputera melebihi yang bukan bumiputera. Namun, adakah benar

keistimewaan ini dirasai oleh masyarakat pribumi lantas menyebabkan mereka menjadi

semakin malas? Pada pendapat saya, kemalasan dan kerajinan seseorang itu dipengaruhi oleh

persekitaran yang mereka hadapi dan pengaruh rakan-rakan sebaya.

Ideologi kolonial dan kapitalisme kolonial sebenarnya adalah penyebab utama mitos pribumi

pemalas ini timbul dan melekat di ingatan setiap masyarakat.

Page 8: Book review the_myth_of_the_lazy_native-libre

8

KESIMPULAN

Mitos pribumi pemalas adalah mitos semata-mata. Pada pendapat saya, tiada bukti yang

kukuh untuk menggelar sesebuah masyarakat itu sebagai malas berdasarkan definisi malas

yang telah diterangkan oleh Alatas dalam bukunya. Buku ini bukan sahaja berperanan

penting dalam penjelasan sebenar mengenai mitos kemalasan pribumi, malah turut

membuktikan kewibawaan seorang ahli sosiologi Malaysia dalam membina konsep-konsep

dan idea-idea baru dalam bidang sosiologi.

BIBLIOGRAFI

Syed Hussein Alatas (1977), The Myth of the Lazy Native. London: Frank Cass And

Company Limited.

Mokhtar Saidin, Jaffrey Abdullah, Jalil Osman dan Azman Abdullah, (2011). Issues and

Problems of Previous Studies in the Bujang Valley and the Discovery of Sungai Batu.

Dalam Stephen Chia dan Barbara Watson Andya (Ed.) Bujang Valley and Early

Civilisations in Southeast Asia, p. 16. Department of National Heritage, Ministry of

Information, Communications and Culture, Malaysia.

Faezah Ismail (2010), Revisiting ‘The Myth of the Lazy Native’ [pdf], Terdapat di

<http://multiworldindia.org/wp-content/uploads/2010/05/Revisiting.pdf> [Diakses 24

November 2013]

Deborah Johnson (2007), An Intellectual Life, [Online] Terdapat di

<http://www.aseanfocus.com/asian_analysis/Malaysia-

%20An%20Intellectual%20Life%20.php>